She's Come Undone

Begitu berat bebanan yang saban hari menghenyak hati gadis ini. Sehingga dia berasa sesak, tidak mampu bernafas. 

Rutin hariannya seperti orang biasa. Bangun di subuh hari, berjumpa Allah, bingkas mempersiapkan bekalan makanan untuk adiknya. Dibungkus nasi dan lauk buat adiknya serta sepasang sudu dan garfu, dia mencapai tisu yang dilipat dan di sisipkan ke dalam beg kertas berisi bekas makanan adiknya tadi. Air yang telah dimasak pula dituang ke dalam bekas minuman adiknya, disiap rapi sekali sama bekalan makanan itu. Bila ada lebihan lauk setelah itu, barulah dia akan mempersiapkan bekalan makanan untuknya pula. Lalu dia segera membersihkan diri dan bersiap. Setelah kemas selendangnya dipakai, dia akan mengejutkan adiknya yang berusia 17 tahun itu untuk bangkit dan bersiap ke tempat kerja. Manakala adiknya yang seorang lagi yang berusia 22 tahun, masih tidur dan akan bangkit sendiri kemudian untuk ke kampus. Oh, dia tidak lupa untuk kepilkan sekeping-dua nota wang berwarna merah siap-siap ke dalam dompet adiknya sebagai wang belanja.

Gadis ini segera keluar daripada rumah menuruni anak-anak tangga, dan berlari-lari anak mengejar bas, seperti yang dikebiasaan. Sudah jam delapan pagi. Bas tiba jam delapan lewat seperempat. Di dalam bas, seperti biasa dia memilih untuk duduk di kerusi tiga dari belakang, betul-betul di tepi tingkap cermin. Dia selesa duduk memerhati sesak-sesak kenderaan yang berebut-rebut mahu ke kantor. Baginya, situasi sebegitu mampu memberinya tenang. Gadis ini sangat gemar mencari tenang di dalam sesak. Ada juga di suatu masa yang dia akan terlelap sepanjang perjalanan di dalam bas dek keletihan minda dan jasad.

Bas berhenti di bus stop di sekitar Perumahan Gurney. Memerlukan dia untuk melangkah dan meredah lalu-lintas pula sebelum betul-betul tiba di kantor. "Ah, aku lambat lagi!" Sudah lebih jam setengah sembilan. Rutin kerjanya kemudian berjalan seperti biasa.

Beginilah gadis yang berusia 25 tahun ini memulakan hari-harinya. Demi mencari rezeki, demi meneruskan hidup. Demi menjaga kebajikan keluarganya. Belum lagi jika ingin diceritakan tentang di waktu malam, dia perlu mencari tambahan wang dengan perlu mengambil upah sebagai freelance graphic designer. Dan di waktu hujung minggu, dia perlu ke kampus menimba ilmu. Assignments dan tugasan projek kelasnya pula harus disiapkan mengikut masa-masa yang telah diberi (kadang-kadang dia curi-curi menyiapkan assignments ketika di dalam kantor). Jika dilihat, sebenarnya sudah begitu banyak tanggungjawabnya, sudah begitu berat tanggungannya di usia sebegitu muda. Sehingga dia seolah sudah tidak tertanggung lagi. 

Dalam pada itu, sahabat-sahabatnya sungguh kerap memuji dia. Kata mereka, gadis ini dalam pada lembut, ada hati keringnya sendiri. Sangat tabah. Teliti. Pandai menjaga adik-adiknya. Bersikap protektif terhadap keluarganya yang jauh. Keperibadiannya dianggap berbeza daripada orang-orang lain. "Istimewa", kata mereka. Punya sesuatu yang lebih yang tidak ada pada sesiapa. "Indescribable," tambahan teman yang seorang lagi. Teman lamanya juga mengklasifikasikan dia sebagai gadis yang hebat, kerana mampu mengharungi segalanya sendirian. Dan beberapa kali juga dia dengar teman yang lain berpendapat yang dirinya ini matang lebih daripada usia. Kematangannya diukur dengan cara tutur katanya, pemakaiannya, juga cara dia berfikir. Namun, disebalik segala yang indah-indah yang diperkata mereka, punya sisi yang tidak ternampak oleh orang lain. Bak kata teman sekelasnya, "Ada different side yang orang tak nampak... Ada sisi lain yang kamu tidak tunjuk..."

Sesuai dengan sikapnya yang bijak menyorok pahit, bijak mempurakan sedih, bijak menyimpan beban yang dibebaninya... Gadis ini tidak terbiasa untuk meluahkan rasa hati. Mungkin jika ada yang tahu atau diberitahu tentang masalah yang dihadapinya sekalipun, yang sebenarnya masih berbaki lagi masalah yang lain yang tidak dia ceritakan. Pasti dia masih mahu sorok-sorok dan tidak mahu sekalian orang tahu jalan cerita yang sebenar-benar. She keeps it all to herself. Justeru, hanya kepada Allah juga dipengakhirannya dia mengadu, teresak-esak malu meminta dibantu.

Sekuat-kuat dia seperti yang teman-temannya lihat, dia, sebenarnya sedang menggalas bermacam beban. Saban malam dia tidak mampu tidur dengan nyenyak. Terlampau banyak hal yang difikirkannya, didesak-desak ke dalam mindanya yang sedang tidur. Sehingga di suatu masa dia hampir mahu jatuh, "Seolah mahu lelap tidak mampu berbuat apa..." Apatah lagi apabila pada malam itu, dia menerima panggilan daripada ayahnya yang di kampung. Sayu. "Kakak okay?" tanya ayah. "Kakak okay, ayah..." Segera dia tahan nada suaranya yang hampir teresak-esak itu. Usai telefon dihentikan, air matanya mengalir. Dia padam lampu kamar tidurnya supaya adiknya tidak terperasankan yang kakaknya yang kuat itu sedang lagi menangis kerapuhan.

Hati dia rapuh, tetapi ditidakkan dia. Kerana dia perlu terus berpura kuat, dia perlu menjadi kuat, dia harus pasti kuat. Kerana di lewat hari-hari, dia perlu ada buat bunda, ayah, abang, adik-adiknya, serta teman-temannya. Apa lagi yang dia bisa berbuat jika dia tidak berlagak kuat?

Gadis itu memandang ke sisi cermin, dia berbicara pada bayangnya, "Kau kuat, Syuhada. Kau kuat."


Oktober 2015
"She's Come Undone"


Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Leave a Reply

Cari

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.